
TUMPAT, 5 Jun – Sejumlah 2,760 unit rokok elektronik (vape) dan 1,200 unit kartrij cecair vape pelbagai perisa bernilai RM396,00 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, semalam.
- Seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun ditahan sebagai penjaga stor barang disyaki.
- Suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki dikenali sebagai Azam dan menjaga stor serta menghantar bekalan ke negara jiran melalui pengkalan haram.
- Barangan didakwa diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier.
- Kes diserahkan ke Jabatan Kesihatan Daerah Tumpat untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, dalam operasi kira-kira pukul 1.30 petang itu, anggota Strike Force Sektor C, Kompeni C Batalion 8 PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor simpanan barangan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki dikenali sebagai Azam dan bertanggungjawab menjaga stor serta membawa bekalan vape berkenaan ke negara jiran melalui pengkalan haram di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.
“Suspek turut mendakwa barangan itu diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya menerusi kenyataan.
Rokok elektronik dan kartrij cecair vape yang dirampas itu, disyaki untuk diseludup ke pasaran Thailand.
Kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor sebelum diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).