
BANDAR BARU NILAI, 20 April– Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak akan beraksi dalam acara pecut berpasukan (team sprint) bagi memberi tumpuan penuh kepada acara individunya, menjelang kejohanan penting termasuk Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 dan Sukan Asi.
- Keputusan dibuat demi pemulihan Azizul, mengambil kira faktor usia dan keperluan tempoh rehat lebih panjang.
- Beasley berkata prestasi Azizul masih ada; mahu berikan peluang terbaik untuk meraih pingat emas negara.
- Seorang pelumba mengalami kecederaan AC joint tahap tiga hingga empat, mungkin memerlukan pembedahan dan pemulihan tiga hingga enam bulan.
- Ketiadaan beberapa pelumba utama menjejaskan kekuatan team sprint; fokus kini membentuk barisan terbaik menjelang saingan antarabangsa.
Pengarah Teknikal Program Berbasikal negara, John Beasley memaklumkan keputusan itu dibuat bagi menjaga aspek pemulihan atlet berkenaan, terutama mengambil kira faktor usia yang memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang.
“Prestasi dia masih ada. Cuma dari segi pemulihan bagi saya, saya nak beri dia peluang terbaik untuk hadiahkan pingat emas kepada negara,” katanya.
Menurut beliau, Azizul sebaliknya akan memberi fokus kepada acara keirin dan pecut individu yang dilihat lebih berpotensi menyumbang pingat kepada negara.
Dalam perkembangan sama, skuad negara turut menerima tamparan apabila seorang pelumba mengalami kecederaan serius pada bahagian bahu selepas terlibat dalam kemalangan ketika saingan keirin.
Beasley memaklumkan kecederan acromioclavicular (AC) joint tahap tiga hingga empat itu berkemungkinan memerlukan pembedahan dan tempoh pemulihan antara tiga hingga enam bulan.
“Kecederaan ini dinilai tahap tiga hingga empat dan berkemungkinan memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan yang agak panjang untuk kembali ke tahap kekuatan penuh,” jelasnya.
Tambah beliau, meskipun pelumba tersebut mungkin mampu kembali menjalani latihan asas dalam tempoh sebulan, proses untuk mencapai tahap prestasi penuh dijangka mengambil masa lebih lama.
Dalam masa sama, ketiadaan beberapa pelumba utama dijangka memberi kesan kepada kekuatan team sprint, namun fokus utama kini adalah memastikan barisan terbaik dapat dibentuk menjelang Sukan Asia.