Piala Dunia Berbasikal Trek UCI, Malaysia kembali jadi tumpuan dunia

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill/BERNAMA

BANDAR BARU NILAI, 20 April– Malaysia kembali menjadi tumpuan dunia apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 selepas penantian selama 25 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran dianggap detik bersejarah menurut Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill.
  • Edisi mencatat penyertaan 47 negara dengan lebih 700 atlet dan pegawai.
  • Velodrom Nasional Nilai dijangka menyajikan aksi bertaraf Olimpik dan pelumba elit dunia.
  • Siaran langsung ke lebih 100 negara dijangka mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata penganjuran kali ini merupakan detik bersejarah buat negara dengan kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada tahun 2001.

“Ini detik bersejarah buat Malaysia apabila Piala Dunia Berbasikal Trek kembali selepas 25 tahun, kali terakhir kita menjadi tuan rumah pada 2001,” katanya dalam sidang media.

Edisi kali ini mencatat penyertaan memberangsangkan apabila melibatkan 47 negara dengan lebih 700 atlet dan pegawai, sekali gus mengatasi beberapa pusingan lain sebelum ini.

Kejohanan yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai itu dijangka menyajikan aksi bertaraf Olimpik dengan kehadiran pelumba elit dunia.

Dalam masa sama, siaran langsung kejohanan berkenaan akan dipancarkan ke lebih 100 negara, sekali gus menjadi platform penting untuk mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Siaran langsung ke lebih 100 negara menjadi platform besar untuk mempromosikan Malaysia sebagai tuan rumah sukan bertaraf dunia.” katanya..

Peminat sukan berbasikal tanah air turut diseru hadir memberi sokongan kepada atlet negara yang akan beraksi di gelanggang sendiri dari 24 hingga 26 April ini.