24 Hours Le Mans: JMR tamatkan penyertaan sulung di tempat ke-14

Tunku Abdul Rahman menyifatkan pencapaian itu hasil kerja keras seluruh pasukan.

KUALA LUMPUR, 15 JUN – Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta sejarah baharu dalam sukan permotoran negara setelah menamatkan perlumbaan berprestij 24 Hours of Le Mans di kedudukan ke-14 pada penampilan sulung pasukan itu di Perancis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan JMR dibarisi Tunku Abdul Rahman, Ben Green dan Lorcan Hanafin dalam kelas LMGT3.
  • Tunku Abdul Rahman bangga dengan usaha pasukan, bersyukur dan berikrar untuk kembali pada masa hadapan.
  • JMR kini mengalihkan tumpuan kepada CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium dalam dua minggu.

Pasukan yang bersaing dalam kelas LMGT3 itu dibarisi pemilik pasukan merangkap pelumba, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama pemandu profesional Ben Green dan Lorcan Hanafin.

Pencapaian tersebut menyaksikan JMR berjaya mengharungi perlumbaan ketahanan paling ikonik dunia selama 24 jam, sekali gus membuktikan kemampuan pasukan Malaysia untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah, berlumba di Le Mans merupakan impian saya sejak sekian lama. Saya bersyukur kerana kami berjaya menamatkan perlumbaan 24 jam ini dan saya amat bangga dengan usaha seluruh pasukan. Insya-Allah, kami akan kembali lagi pada masa hadapan” kata Tunku Abdul Rahman.

Tunku Abdul Rahman turut menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kerja keras seluruh pasukan yang mempamerkan prestasi konsisten sepanjang perlumbaan berlangsung.

Perlumbaan kelas LMGT3 dimenangi Corvette Racing, manakala Akkodis ASP Team dan Heart of Racing Team masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Selepas mencipta sejarah di Le Mans, JMR kini mengalihkan tumpuan kepada perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.