40 atlet paralimpik terpilih sertai program keusahawanan

Datuk Seri Megat (tengah) bergambar bersama peserta Program Bantuan Kewangan Keusahawanan Atlet Para.

KUALA LUMPUR, 15 JUN Seramai 40 atlet paralimpik terpilih menyertai Program Bantuan Kewangan Keusahawanan Atlet Para bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang perniagaan dan pembangunan sukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama MPM dengan Crux membantu atlet para menjana pendapatan tambahan dan menyediakan sumber kewangan alternatif.
  • Latihan intensif 14 hari merangkumi pengurusan perniagaan, perakaunan, penyimpanan rekod kewangan dan pemasaran.
  • Keutamaan diberikan kepada atlet dalam Program Podium dan Program Pelapis bagi mengekalkan fokus latihan dan pendapatan stabil.
  • Konsep Barista on the Road dipilih kerana mudah diurus, sesuai untuk pelbagai ketidakupayaan dan mempunyai potensi pasaran luas.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman berkata program itu merupakan kerjasama antara MPM dengan institusi Crux bertujuan membantu atlet para menjana pendapatan tambahan serta menyediakan sumber kewangan alternatif untuk masa depan mereka.

Menerusi program tersebut, para atlet perlu mengikuti latihan intensif selama 14 hari yang merangkumi aspek keusahawanan seperti pengurusan perniagaan, perakaunan, penyimpanan rekod kewangan dan pemasaran.

“Keutamaan saya adalah kepada atlet yang berada dalam program sedia ada, khususnya Program Podium dan Program Pelapis. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan semangat mereka untuk terus berlatih tanpa perlu mencari sumber pendapatan tambahan di luar sehingga menjejaskan fokus latihan.

“Oleh itu, saya akan memastikan mereka mempunyai pendapatan yang kekal melalui program berkenaan, di samping peluang menambah pendapatan menerusi program-program lain yang bersesuaian dan mudah diakses.

“Selepas itu, tumpuan akan diberikan kepada kira-kira 2,000 atlet para yang mungkin tidak berpeluang mewakili negeri atau negara. Namun, peluang untuk mereka tidak akan terhenti di situ kerana pelbagai inisiatif akan dirangka bagi memastikan kebajikan dan pembangunan kerjaya mereka terus diberi perhatian,” katanya selepas Program Bantuan Kewangan Keusahawanan Atlet Para di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata konsep “Barista on the Road” dipilih kerana lebih mudah diuruskan oleh atlet para yang mempunyai pelbagai kategori ketidakupayaan.

Selain menepati trend semasa, perniagaan kopi juga dilihat mempunyai potensi pasaran yang luas serta lebih praktikal berbanding bidang lain yang memerlukan kemahiran dan pengendalian lebih kompleks.

Program berkenaan merupakan antara usaha baharu Majlis Paralimpik Malaysia dalam memperkasakan komuniti atlet para melalui gabungan pembangunan sukan dan keusahawanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.