Penjualan tiket bas ekspres melalui terminal berlesen secara berfasa

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 5 November – Pelaksaan peraturan yang mewajibkan penjualan tiket bas ekspres melalui terminal bas berlesen serta jualan dalam talian akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 November lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan secara berfasa memberi tempoh peralihan munasabah kepada pengurusan terminal dan pengendali bas ekspres untuk membuat persediaan teknikal.
  • Persediaan merangkumi penyesuaian sistem tiket, integrasi platform digital serta penyelarasan proses operasi.
  • MOT dan APAD akan memantau kesiapsiagaan industri dan memaklumkan ketetapan pelaksanaan dari semasa ke semasa.
  • Sepanjang peralihan, orang ramai masih boleh beli tiket melalui kaedah sedia ada, pengesahan diperlukan untuk tiket dalam talian.

Menerusi kenyataan media, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pendekatan itu bertujuan memberikan tempoh peralihan yang munasabah kepada pengurusan terminal bas dan pengendali bas ekspres untuk membuat persediaan teknikal.

Persediaan berkenaan merangkumi penyesuaian sistem tiket, integrasi platform digital serta penyelarasan proses operasi bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna.

“Tarikh 1 November 2026 ditetapkan sebagai tarikh permulaan pelaksanaan secara berfasa bagi membolehkan proses peralihan dilaksanakan secara terancang, dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan teknikal dan operasi semua pihak,” menurut kenyataan itu.

MOT dan APAD akan memantau kesiapsiagaan industri serta memaklumkan ketetapan lanjut pelaksanaan dari semasa ke semasa.

Sepanjang tempoh peralihan, orang ramai masih boleh membeli tiket menggunakan kaedah sedia ada, manakala pengguna yang telah membeli tiket dalam talian perlu membuat pengesahan perjalanan melalui terminal bas berlesen atau saluran jualan berkaitan.

Kedua-dua agensi kekal komited memastikan perkhidmatan pengangkutan awam darat cekap, telus dan selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.