
KUALA LUMPUR, 5 November – Pulau Pinang merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM20.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, yang dijangka menjana 20,216 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.
- Pelaburan merangkumi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan.
- Kerajaan menumpukan kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan untuk memenuhi keperluan industri di Taman Teknologi @ Bertam.
- Kolaborasi berterusan antara syarikat industri dan institusi pendidikan, termasuk sembilan institusi latihan, empat daripadanya TVET.
- Pendekatan fokus pada penyediaan pekerjaan berkualiti, kemahiran tinggi dan separa mahir, serta pembangunan bakat dan latihan industri.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pelaburan itu merangkumi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan.
Menurutnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri yang beroperasi di Taman Teknologi @ Bertam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, kerjasama berterusan dilaksanakan antara syarikat industri di taman teknologi berkenaan dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kesediaan tenaga kerja tempatan supaya memenuhi keperluan industri yang beroperasi di Taman Teknologi di Bertam.
“Justeru itu, kolaborasi berterusan dilakukan antara syarikat industri di Taman Teknologi dengan institusi pendidikan TVET. Ada sembilan institusi latihan dan empat daripadanya adalah TVET,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Tasek Gelugor) mengenai mekanisme memastikan penduduk mendapat manfaat daripada pembangunan Taman Teknologi @ Bertam, khususnya dari segi peluang pekerjaan.
Sim berkata, kerajaan turut melaksanakan pendekatan yang memberi fokus kepada penyediaan pekerjaan berkualiti.
Khususnya dalam bidang kemahiran tinggi dan separa mahir, selain pembangunan bakat serta latihan industri untuk penduduk setempat.