
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing
KUALA LUMPUR, 5 November – Malaysia menjana impak ekonomi berjumlah RM5.11 bilion menerusi 464 acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) antarabangsa yang dilaksanakan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) setakat Oktober tahun ini.
- MyCEB dianugerahi Best Meeting Destination in Asia Stella Award 2026 pada 18 Ogos.
- Pakej lawatan selepas acara dipromosikan untuk menggalakkan delegasi tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak.
- Untuk 2027, 44 acara dikenal pasti dengan anggaran 69,509 delegasi dan sasaran impak ekonomi RM1.03 bilion.
- Lapan acara MICE dipindahkan ke Malaysia susulan krisis Asia Barat, dijangka menjana impak ekonomi kira-kira RM84.87 juta.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, acara berkenaan melibatkan penyertaan lebih 800 delegasi.
“Keupayaan Malaysia turut mendapat pengiktirafan apabila MyCEB menerima anugerah Best Meeting Destination in Asia pada Meeting & Convention Asia Stella Award 2026, 18 Ogos lalu.
“Pakej lawatan selepas acara terus dipromosikan bagi menggalakkan delegasi MICE tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak.
“Ini menjadikan segmen MICE antara penggerak penting ekonomi negara serta kejayaan Kempen Melawat Malaysia 2026 hingga 2027,” katanya di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Bagi 2027, sebanyak 44 acara MICE dikenal pasti untuk dianjurkan di Malaysia, dengan anggaran penyertaan 69,509 delegasi serta sasaran impak ekonomi sebanyak RM1.03 bilion.
Daripada jumlah itu, lapan acara MICE berjaya dipindahkan ke Malaysia susulan krisis global di Asia Barat dan dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM84.87 juta.