
KUALA LUMPUR, 5 November – Sebanyak 834 kes penyeludupan direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2026, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM257.5 juta.
- Kerajaan komited memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan termasuk rantaian logistik serta mengenal pasti dalang yang bersubahat.
- Maritim Malaysia mengoperasikan 15 Tapak Sensor Jarak Jauh, beroperasi 24 jam, namun liputan radar belum 100 peratus; rondaan berkala dilaksanakan.
- Keperluan termasuk peluasan sistem pengawasan, penambahan UAV dan aset udara, perolehan kapal jarak jauh serta pemodenan kapal dan bot operasi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan komited memutuskan keseluruhan rangkaian sindiket penyeludupan termasuk rantaian logistik serta mengenal pasti dalang yang bersubahat dalam kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, Maritim Malaysia kini mengoperasikan 15 Tapak Sensor Jarak Jauh (RSS), masing-masing 12 di sepanjang Selat Melaka dan tiga di pantai barat Sabah bagi memperkukuh pengawasan perairan negara.
Menurutnya, kesemua RSS beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dalam kawasan liputan masing-masing bagi membolehkan pemantauan berterusan dilaksanakan.
“Walaupun begitu, keadaan ini tidak bermaksud keseluruhan perairan telah mempunyai liputan radar 100 peratus. Bagi kawasan berkenaan, Maritim melaksanakan rondaan berkala menggunakan kapal dan bot,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (Simpang Renggam) mengenai kemajuan sistem pengesanan awal radar, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan satelit, liputan pengawasan 24 jam serta jurang keupayaan aset Maritim Malaysia.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, antara keperluan yang masih perlu ditangani termasuk memperluas liputan sistem pengawasan, menambah UAV dan aset udara bagi pemantauan berterusan, selain memperoleh kapal jarak jauh serta aset berkelajuan tinggi.
Katanya, kerajaan sedang menangani keperluan itu menerusi peluasan sistem pengawasan, perolehan aset strategik serta program pemodenan kapal dan bot operasi Maritim Malaysia.