
KUALA LUMPUR, 5 November – Sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2025 berbanding 7,116 kes pada 2024 sekali gus menyaksikan peningkatan kes sebanyak 3.9 peratus.
- Setakat September, 5,862 kes keganasan rumah tangga direkodkan, bersamaan lebih 21 kes sehari.
- Menteri Nancy Shukri: angka menggambarkan individu dan keluarga memerlukan perlindungan, sokongan dan pemulihan, bukan sekadar statistik.
- Keganasan rumah tangga merangkumi penderaan emosi, psikologi, seksual, ugutan, sekatan pergerakan, kawalan kewangan dan penyalahgunaan teknologi digital.
- KPWKM laksanakan DKKN 2026 hingga 2030 dengan fokus pencegahan, intervensi awal, perlindungan dan pemulihan; inisiatif seperti Wonderful Life, Advokasi, Skuad WAJA.
Setakat September tahun ini, sebanyak 5,862 kes turut direkodkan bersamaan lebih 21 kes sehari.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan nasib individu dan keluarga yang terkesan.
“Di sebalik setiap angka ini ada individu dan keluarga termasuk kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, sokongan dan pemulihan.
“Keganasan rumah tangga tidak boleh dianggap sebagai urusan dalaman keluarga yang wajar didiamkan, sebaliknya perlu ditangani sebagai isu keselamatan dan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya.
Tambah beliau, keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal, malah merangkumi penderaan emosi dan psikologi, keganasan seksual, ugutan, sekatan pergerakan, kawalan kewangan serta penyalahgunaan teknologi digital untuk memantau, mengganggu dan mengugut mangsa.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh usaha menangani isu berkenaan menerusi pelaksanaan Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) 2026 hingga 2030 yang memberi penekanan kepada pencegahan, intervensi awal, perlindungan dan pemulihan mangsa.
Antara inisiatif yang digerakkan termasuk Program Wonderful Life oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita dan Keganasan Rumah Tangga serta Program Sukarelawan Skuad WAJA oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy menegaskan bahawa usaha membanteras keganasan rumah tangga memerlukan komitmen berterusan semua pihak bagi memastikan setiap individu dapat menikmati kehidupan dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan bermaruah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Simposium Pengukuhan Polisi kepada Realiti Keganasan Rumah Tangga: Mendepani Cabaran dan Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan di sini, hari ini.
Simposium sebagai platform berkongsi kepakaran serta memperkukuh kerjasama dalam menangani keganasan rumah tangga.
Antaranya yang terlibat ialah wakil kementerian dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi, termasuk Centre for Research on Women and Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM), Hospital Putrajaya dan Women’s Aid Organisation (WAO)
Simposium siri pertama berlangsung di Kuala Lumpur hingga 6 November.
Manakala siri kedua dijadual diadakan di Kelantan pada pertengahan bulan ini.