
KUALA LUMPUR, 5 November – Kerajaan kekal berwaspada terhadap risiko kebakaran domestik yang berpotensi mencetuskan situasi jerebu khususnya ketika taburan hujan dijangka berkurangan menjelang penghujung monsun timur laut.
- Fokus pencegahan, pengesanan awal, tindakan pantas dan perlindungan kesihatan rakyat.
- Perkasakan kerjasama ASEAN melalui AATHP bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.
- Tingkatkan keupayaan pengesanan amaran awal: titik panas, imej satelit, ramalan cuaca, arah angin, Indeks Pencemar Udara.
- Perkukuh kesiapsiagaan operasi antara agensi termasuk Bomba dan Perhutanan untuk mobilisasi aset, tenaga kerja dan sumber air segera.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, usaha kini tertumpu kepada pencegahan, pengesanan awal, tindakan pantas dan perlindungan kesihatan rakyat.
Menurutnya, usaha tersebut turut diperkasa menerusi ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
“Kita meningkatkan keupayaan pengesanan amaran awal melalui agensi Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia. Kita kena terus mengukuhkan penyelarasan data titik panas, imej satelit, ramalan cuaca, arah angin dan bacaan Indeks Pencemar Udara selain memperkukuh penguatkuasaan dan akauntabiliti,” katanya.
Kementerian akan turut mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi antara agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perhutanan dalam memastikan aset, tenaga kerja dan sumber air dapat digerakkan dengan segera.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Batang Sadong, Rodiyah Sapiee mengenai langkah kerajaan bagi memastikan jerebu yang lebih serius dapat dicegah lebih awal dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.