MPOB sasar tingkatkan adunan biodiesel secara berperingkat

Langkah kerajaan meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 merupakan pendekatan terbaik untuk menjamin ketersediaan bekalan diesel negara. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 April – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel negara sebagai langkah strategik memperkukuh penggunaan tenaga lestari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tetapkan adunan biodiesel kepada B15 kerana sesuai dengan kemudahan pengadunan dan penyimpanan tanpa memerlukan pelaburan besar.
  • Kapasiti pengeluaran loji kini mampu menyokong sehingga B30, tetapi kekangan ialah fasiliti penyimpanan dan sistem pengadunan di depoh.
  • Peruntukan kira-kira RM40 juta disediakan untuk tingkatkan kapasiti pengadunan B20 di Sabah dan Sarawak; usaha dapatkan peruntukan tambahan untuk Semenanjung.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Kejuruteraan dan Pemprosesan MPOB, Nasrin Abu Bakar berkata, ketika ini penggunaan biodiesel di Semenanjung, kecuali Langkawi, adalah pada kadar B10, manakala di Langkawi dan Sarawak telah mencapai tahap B20.

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk meningkatkan adunan kepada B15 merupakan pendekatan terbaik dengan mengambil kira keupayaan sedia ada, khususnya dari segi kemudahan pengadunan dan penyimpanan tanpa memerlukan pelaburan besar selain pembangunan infrastruktur baharu.

“Sebenarnya pengumuman kerajaan itu merupakan satu langkah yang terbaik dan kami di MPOB dan KPK melihat ini sebagai satu peluang dan sebenarnya menjadi impian kami untuk pergi kepada adunan yang lebih tinggi daripada B10 ke B12, B15 dan juga B20.

“Cuma pada masa ini kami lihat pengumuman kerajaan itu berasakan apa yang kemampuan kita dari segi kemudahan pengadunan dan juga penyimpanan. This is the reason kenapa kerajaan letakkan hingga ke B15
sahaja tanpa ada melibatkan investment dari segi CAPEX dan juga dari segi infra,” katanya selepas program Bicara Naratif di Radio Televisyen (RTM), hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa kapasiti semasa loji biodiesel negara mampu menyokong pengeluaran sehingga tahap B30.

Namun, kekangan utama ketika ini adalah pada aspek infrastruktur, khususnya fasiliti penyimpanan dan sistem pengadunan di depoh.

Beliau berkata, MPOB melalui kementerian berkaitan telah menerima peruntukan kira-kira RM40 juta bagi meningkatkan kapasiti pengadunan bagi pelaksanaan B20 di Sabah dan Sarawak, melibatkan penambahbaikan depoh sedia ada di kedua-dua wilayah tersebut.

Pada masa sama, usaha sedang giat dijalankan untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menaik taraf kemudahan depoh di Semenanjung Malaysia bagi menyokong pelaksanaan adunan lebih tinggi pada masa hadapan.