
KUALA LUMPUR, 21 April – Malaysia perlu mempercepatkan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui (TBB) memandangkan kadar pelaksanaan semasa masih dianggap perlahan.
- Malaysia pengeluar utama panel solar tetapi kebanyakan dieksport ke Barat pada harga tinggi, mengurangkan manfaat domestik.
- Harga teknologi solar menurun selama tiga dekad, menjadikan penggunaan skala besar lebih mampu milik.
- Cadangan mengimport panel murah dari China dan menyesuaikannya menguntungkan berbanding menolak penggunaannya.
- Malaysia ketinggalan berbanding Indonesia dalam penggunaan biodiesel berasaskan sawit; perlu tingkatkan penggunaan industri.
Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Prof Emiretus Dr Jomo Kwame Sundaram, berkata negara sepatutnya lebih awal mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu dan beralih kepada sumber tenaga lebih mampan seperti tenaga solar serta biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit.
Menurut beliau, walaupun Malaysia berada di landasan yang betul, usaha peralihan tersebut tidak bergerak cukup pantas.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bicara Naratif di Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.
Tambahnya, harga teknologi tenaga solar telah menurun sejak lebih tiga dekad lalu, justeru Malaysia seharusnya telah memulakan peralihan tersebut lebih awal.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Malaysia kini merupakan antara pengeluar utama panel solar dunia, namun kebanyakan produk berkenaan dieksport ke negara Barat pada harga yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar negara mempertimbang untuk mengimport panel solar pada harga lebih rendah dari China dan menyesuaikannya dengan keperluan tempatan, berbanding menolak penggunaannya.
Mengulas lanjut, beliau turut merujuk kepada kejayaan model tenaga solar oleh syarikat petroleum negara di Vietnam, yang bukan sahaja menjana tenaga tetapi juga menjualnya semula kepada grid serta pengguna industri.
Pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan Malaysia yang dilihat semakin ketinggalan berbanding negara lain, termasuk Indonesia yang kini mendahului dalam penggunaan biodiesel berasaskan sawit.
“Dari segi penggunaan minyak kelapa sawit, kita merupakan perintis di dunia. Namun kini Indonesia telah mendahului, khususnya dalam penggunaan biodiesel yang jauh lebih meluas berbanding Malaysia,” katanya.