Beli barangan tempatan, kurang kebergantungan terhadap barangan import

Beli barangan tempatan mampu mengurangkan kebergantungan kepada barangan import. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April – Pembelian barangan tempatan dilihat sebagai benteng utama ekonomi dalam melindungi pengguna daripada tekanan kos yang semakin meningkat susulan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengurangkan kebergantungan import terutamanya untuk makanan, ubat-ubatan dan barangan asas industri.
  • Mengekalkan aliran wang dalam negara, memperkukuh pengeluaran tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
  • Pengeluar perlu pastikan harga kompetitif, kualiti setanding dan akses mudah melalui pasar raya serta platform e-dagang.

Langkah itu sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import khususnya bagi sektor kritikal seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan asas industri.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Zaidah Turmin amalan pembelian itu turut berupaya memperkukuh daya tahan ekonomi dalam jangka masa panjang.

“Apabila kita membeli barangan tempatan, ia memastikan aliran mata wang kekal berputar dalam negara dan tidak mengalir ke luar.”

“Keadaan ini membolehkan syarikat pengeluar tempatan meningkatkan aktiviti perniagaan serta pengeluaran mereka. Secara tidak langsung, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, sekali gus menjamin kestabilan pendapatan rakyat dan mengurangkan kadar pengangguran.”

Tambah beliau, pengeluar tempatan turut disaran mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan rakyat memilih barangan tempatan.

Antaranya memastikan harga produk tempatan kekal kompetitif berbanding barangan import.

“Selain itu, kualiti barangan tempatan perlu dipertingkatkan agar setanding dengan produk luar negara, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.”

“Dalam masa sama, akses kepada barangan tempatan juga perlu dipermudah dengan memastikan ia mudah diperoleh di pasar raya utama serta platform e-dagang,” tambahnya.