
IPOH, 17 April – Lebih 2.4 juta benih ikan air tawar dilepaskan di seluruh Perak sepanjang tahun lalu bagi memastikan sumber perikanan darat terus terpelihara.
- Program pelepasan dijalankan melalui 23 siri di sungai, tasik dan lombong melibatkan pelbagai spesies tempatan.
- Spesies dilepaskan termasuk udang galah, ikan baung, kerai dan temoleh.
- Jabatan Perikanan komited pada pendekatan bersepadu untuk tangani pencemaran, kemerosotan stok dan ketidakstabilan pendapatan nelayan darat.
- Pemantauan berkala dan tiga program memburu ikan asing melibatkan lebih 100 peserta, mengeluarkan 9.4 tan ikan asing termasuk spesies tertentu.
Program pelepasan itu dilaksanakan menerusi 23 siri di sungai, tasik dan lombong melibatkan pelbagai spesies tempatan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata antara spesies yang dilepaskan termasuk udang galah, ikan baung, kerai dan temoleh.
“Jabatan Perikanan komited melaksanakan pendekatan bersepadu dan menyeluruh bagi menangani cabaran nelayan darat termasuk pencemaran perairan, kemerosotan stok ikan serta ketidakstabilan sumber pendapatan mereka.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pemuliharaan sumber asli tetapi juga pembangunan ekonomi dan kesejahteraan komuniti nelayan secara amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan di Persidangan DUN Perak di sini hari ini.
Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memulihara ekosistem, malah menyokong kelangsungan lebih 1,800 nelayan darat berdaftar di negeri itu.
Pelepasan benih ikan secara berterusan merupakan langkah strategik bagi meningkatkan populasi ikan tempatan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemantauan berkala turut dilaksanakan bagi mengesan kehadiran spesies ikan asing di perairan umum.
Tiga program memburu ikan asing dijalankan di lokasi kritikal dengan penglibatan lebih 100 peserta.
Hasilnya, sebanyak 9.4 tan ikan asing berjaya dikeluarkan termasuk spesies ikan bandaraya dan baung ekor merah.