Kelestarian, pengurusan operasi kunci daya saing industri sawit

Foto fail RTM

MUKAH, 17 April- Penambahbaikan berterusan dalam pengurusan operasi dan amalan kelestarian menjadi kunci memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh tadbir urus operasi dan pematuhan piawaian sebagai asas ketahanan industri
  • Menekankan dokumentasi teratur dan pelaksanaan amalan kelestarian yang konsisten oleh semua pemain industri
  • Tinjauan kilang menunjukkan pematuhan perlesenan MPOB, pensijilan MSPO dan aspek alam sekitar; kementerian terus memantau serta memberi sokongan

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata usaha memperkukuh tadbir urus operasi serta pematuhan terhadap piawaian ditetapkan bukan sahaja penting bagi memenuhi keperluan semasa, malah menjadi asas kepada kelangsungan industri dalam menghadapi cabaran pasaran antarabangsa.

Beliau berkata penambahbaikan berterusan perlu diberi perhatian serius oleh semua pemain industri khususnya dalam memastikan dokumentasi yang teratur serta pelaksanaan amalan kelestarian yang konsisten.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke tiga kilang sawit di sekitar Sibu dan Mukah melibatkan Palm Group Palm Oil Mill Sdn Bhd, RH Balingian Palm Oil Mill Sdn Bhd dan Mukah Kilang Kelapa Sawit Sdn Bhd.

Hasil tinjauan mendapati ketiga-tiga kilang berkenaan secara amnya mematuhi keperluan perlesenan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) serta aspek pematuhan alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen pihak industri dalam memastikan operasi dijalankan secara bertanggungjawab dan selaras dengan dasar kerajaan.

Tambah beliau, kementerian akan terus memperkukuh pemantauan selain menyediakan sokongan sewajarnya bagi memastikan tahap pematuhan industri kekal tinggi.