
TUMPAT, 6 Mei – Enam lelaki warga Myanmar sanggup membayar RM2,500 seorang kepada ejen untuk masuk ke negara ini secara haram sebelum ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan berpasir berhampiran Jalan Kampung Tujuh pada Ahad lalu.
- Masuk ke negara ini dari Thailand melalui laluan haram menggunakan bot.
- Anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA mengesan kumpulan itu sekitar 10.50 malam ketika menaiki sebuah kereta mencurigakan.
- Pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri sah dan ditahan untuk siasatan lanjut.
- Sebuah kereta dianggarkan bernilai RM15,000 dirampas manakala pemandu dipercayai melarikan diri.
Mereka dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand dengan menaiki bot melalui laluan haram.
Anggota rondaan bermotosikal Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu mengesan kumpulan itu kira-kira pukul 10.50 malam ketika menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut mendapati enam lelaki berusia antara 20 hingga 37 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek berada di dalam sebuah kereta sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kesemua suspek dipercayai warga Myanmar yang baru pertama kali masuk ke Malaysia dan dijanjikan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.
“Hasil soal siasat awal mendapati kesemua suspek mengaku membayar kira-kira RM2,500 seorang kepada ejen dari Myanmar yang menguruskan kemasukan ke negara ini,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.
Ahmad Radzi berkata sebuah kereta dianggarkan bernilai RM15,000 turut dirampas.
“Suspek juga tidak mengetahui laluan sebenar yang digunakan, sebaliknya hanya diarahkan ke lokasi tertentu sebelum dijemput sebuah kenderaan untuk dibawa ke destinasi seterusnya.
“Ketika serbuan dilakukan, hanya keenam-enam suspek berada di dalam kenderaan itu manakala pemandu dipercayai sudah melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada BSJD IPD Tumpat.