Langgar penunggang basikal hingga maut, remaja mengaku tidak bersalah

Remaja serah diri kepada pihak polis selepas diburu dalam kejadian langgar maut seorang penunggan basikal/Foto Polis Kuching

KUCHING, 6 Mei – Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal di Jalan Stutong, 1 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret.
  • Mangsa lelaki 54 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kira-kira pukul 5.50 pagi.
  • Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan arah tertuduh lapor bulanan di Balai Polis Simpang Tiga.

Tertuduh berusia 19 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya dengan melanggar seorang penunggang basikal yang berada di laluan sama.

Kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 54 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Simpang Tiga sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, manakala tertuduh diwakili peguam Daniel Ling.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata remaja terbabit tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching kira-kira pukul 12 tengah hari semalam selepas diburu polis.