Kes samun bersenjata: Tujuh lelaki ditahan bantu siasatan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian bercakap pada sidang media di IPD Hilir Perak hari ini/Foto BERNAMA

TELUK INTAN, 6 Mei – Tujuh lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes samun bersenjata yang menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas di sini, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 20 hingga 30 tahun ditahan di sekitar Teluk Intan dan Bentong, Pahang.
  • Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan keganasan, jenayah harta dan penyalahgunaan dadah.
  • Suspek bersenjatakan parang menceroboh rumah, mengugut tuntut emas dan wang tunai; mangsa cedera parah dan disahkan meninggal.
  • Siasatan turut kaitkan tiga suspek dengan pecah rumah dan enam kes kecurian kabel, kerugian dianggarkan RM200,000; kes disiasat di bawah Seksyen 302, 457, 379.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Teluk Intan dan Bentong, Pahang.

Menurut beliau, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes kekerasan, jenayah harta benda serta penyalahgunaan dadah.

“Suspek yang bersenjatakan parang telah menceroboh masuk ke rumah mangsa dan mengugut untuk menuntut barang emas serta wang tunai. Mangsa mengalami kecederaan parah akibat dilibas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati tiga daripada suspek dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah dan enam kes kecurian kabel di sekitar Teluk Intan, dengan anggaran kerugian mencecah RM200,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 457 bagi kes pecah rumah dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kes kecurian kabel.