Lelaki diupah RM300 melalui WhatsApp seludup 500,000 batang rokok

Lelaki tempatan dicekup PGA dalam serbuan pada Selasa/Foto Facebook Briged Tenggara PGA

KOTA BHARU, 6 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup 500,000 batang rokok putih bernilai RM960,000 dalam serbuan di Kampung Pantai Sabak, malam Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan Op Taring Alpha; beberapa suspek lain melarikan diri menggunakan perahu.
  • Pemeriksaan MPV dan SUV menemui kotak berisi rokok putih seludup.
  • Anggota mengesan dua kenderaan tepi sungai memunggah kotak coklat; nombor pendaftaran kedua-duanya palsu.
  • Suspek ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki warga Thailand menerusi WhatsApp, dibayar RM300 setiap penghantaran, tidak pernah bersemuka.

Dalam serbuan Op Taring Alpha 1 kira-kira pukul 9.30 malam itu, seorang lelaki tempatan ditahan, manakala beberapa lagi suspek melarikan diri menggunakan perahu.

Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) menemukan 50 kotak rokok putih seludup yang dianggarkan mengandungi 500,000 batang rokok.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan selepas anggota pasukan mengesan dua kenderaan berada di tepi sungai dengan beberapa lelaki sedang memunggah kotak berwarna coklat ke dalam sebuah kenderaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Suspek yang ditahan berperanan sebagai pemandu penghantaran rokok seludup sejak awal April lalu dan ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki warga Thailand menerusi aplikasi WhatsApp dengan bayaran RM300 bagi setiap penghantaran ke kawasan Tok Bali,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.

Ahmad Radzi berkata, suspek hanya diarahkan mengambil kenderaan yang sudah diisi rokok seludup sebelum menghantarnya ke lokasi ditetapkan.

“Suspek juga mengakui tidak pernah bersemuka dengan dalang terbabit, sebaliknya segala arahan hanya diterima menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.