fb fb fb fb fb

Ismail Sabri kini suspek kes rasuah, dipanggil semula Rabu ini - Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media hari ini

PUTRAJAYA, 3 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap sebagai suspek berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini berikutan penemuan sejumlah wang tunai kira-kira RM170 juta pelbagai mata wang asing dan 16 kilogram jongkong emas di sebuah kondominium dipercayai dijadikan sebagai 'safehouse' yang mana ia diletakkan dalam tiga buah peti besi.

Beliau berkata, pihak SPRM dijangka mengambil keterangan perdana menteri kesembilan itu sekali lagi berhubung kes berkenaan pada Rabu ini.

"Dalam hal ini saya boleh katakan beliau adalah suspek dalam kes ini, kerana pertama Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 telah diberikan kepada beliau untuk membuat pengisytiharaan harta.

"Kedua, bila terjumpa wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripada beliau tentang perjumpaan wang ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam berkata, setakat ini pihak SPRM telah merakam percakapan 31 individu selain sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta sudah dibekukan bagi membantu siasatan.

"Kita masih belum membekukan lagi akaun Yayasan Keluarga Malaysia kerana ia bukan akaun individu.

"Akaun beliau (Ismail Sabri) sedang disiasat, dan kita sedang meminta penjelasan daripada beliau untuk menerangkan tentang semua akaun yang beliau ada," katanya lagi.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN