Cubaan seludup ikan hiasan, batu karang dipatahkan
PADANG BESAR, 21 Mac- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Padang Besar berjaya mematahkan cubaan membawa masuk ikan hiasan jenis Gold Fish dan batu karang yang telah mati dari Thailand tanpa sebarang dokumen import yang sah di Kompleks ICQS Padang Besar.
Pengarah MAQIS Perlis, Roslan Che At memaklumkan, ikan hiasan berserta batu karang dijumpai semasa pemeriksaan dilakukan terhadap warganegara Malaysia yang menaiki kereta bernombor pendaftaran Thailand di laluan awam Kompleks ICQS Padang Besar.
"Hasil pemeriksaan oleh pegawai yang bertugas mendapati, lelaki tersebut membawa 10 ekor ikan hiasan dan 10 kilogram batu karang yang diletakkan dalam polisterin di but kereta.
"Anggaran nilai bagi kesemua ikan hiasan dan batu karang tersebut ialah RM500,"kata Roslan kepada media di sini.
(Cubaan seludup ikan hiasan, batu karang dipatahkan)
Perbuatan mengimport dagangan tanpa permit yang sah akan disiasat bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga 6 tahun atau kedua-duanya.
- Written by Media Baharu
- Category: Jenayah
- Hits: 55