KOTA TINGGI, 18 Januari - Tiga ahli Geng Che Wan dijatuhi hukuman penjara antara 10 bulan hingga dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan menceroboh, melakukan khianat dan menghalang tugas penjawat awam, tahun lalu.
Pengakuan bersalah itu dibuat Mohd Ikhwan Mohd Sharif,33, Muhamad Badry Muhamad Azami, 23, dan Mohamad Safuan Mohd Noor, 33, di hadapan Majistret Muhammad Fitri Moktar.
Tertuduh, Mohd Ikhwan dan Muhamad Badry didakwa mencapai niat bersama menceroboh masuk secara jenayah tanpa kebenaran ke dalam sebuah inap desa di Desaru Bandar Penawar, pada 11 pagi, 21 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja mengurung lima sekeluarga secara salah di tempat sama dan menghalang tugas anggota polis dengan enggan membuka pintu ketika serbuan dijalankan.
Bagi tuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh diperintah menjalani hukuman 10 bulan dan setahun dari tarikh sabitan serta denda RM1,000.
Mereka turut diperintah menjalani hukuman 10 bulan lagi, bagi pertuduhan ketiga.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, ketua geng berkenaan, Mohamad Safuan dihukum penjara dua tahun 10 bulan atas tuduhan melakukan khianat ke atas harta benda pemilik inap desa berkenaan, pada pagi, hari yang sama.
Tertuduh turut menghadapi dua lagi tuduhan melakukan pencerobohan secara jenayah dan menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 342, Seksyen 448, Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Johor, Ahmad Khairuddin Khalid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili penguam.