KLN: Malaysia gesa semua pihak manfaatkan gencatan senjata AS–Iran

Foto Wisma Putra

PUTRAJAYA, 8 April — Malaysia menggesa semua pihak memanfaatkan ruang yang wujud susulan perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran untuk meneruskan dialog ke arah penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian gencatan senjata langkah signifikan meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan serta kestabilan di rantau Asia Barat.
  • Semua pihak perlu menghormati serta melaksanakan terma gencatan senjata dan mengelak tindakan provokatif atau langkah unilateral yang menggugat kestabilan.
  • Malaysia menghargai diplomasi dan menyeru masyarakat antarabangsa menyokong usaha keamanan serta menyumbang ke penyelesaian adil dan berkekalan.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkembangan itu merupakan langkah signifikan ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat.

“Semua pihak perlu menghormati sepenuhnya serta melaksanakan terma gencatan senjata bagi mengelakkan konflik berpanjangan.

“Semua pihak juga hendaklah mengelakkan daripada sebarang tindakan provokatif atau langkah unilateral yang boleh menjejaskan kestabilan di rantau tersebut serta menggugat kestabilan ekonomi dan tenaga global,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha diplomatik sehingga tercapainya perjanjian berkenaan.

“Kejayaan ini membuktikan diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan berdaya maju dalam menyelesaikan konflik berpanjangan serta memastikan keselamatan serantau dalam jangka panjang,” katanya.

Malaysia pada masa sama menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha keamanan berkenaan serta menyumbang ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan demi kesejahteraan rakyat di rantau itu.