
KUALA LUMPUR, 8 April – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab seorang menteri daripada rejim Zionis Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April 2026.
- Tindakan provokasi itu dilihat sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, resolusi PBB dan mencemar kesucian Masjid al-Aqsa.
- Malaysia menyeru komuniti antarabangsa mengutuk tindakan Israel, menghentikan agresi dan memastikan tapak suci Baitulmaqdis dilindungi serta boleh diakses.
- Malaysia menegaskan solidariti dengan rakyat Palestin dan sokongan terhadap penubuhan Negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967.
Wisma Putra menerusi kenyataan berkata tindakan provokasi itu dilakukan ketika masjid ditutup kepada umat Islam, disifatkan sebagai pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), serta mencemar kesucian tapak ketiga paling suci dalam agama Islam.
“Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut mengancam keamanan dan kestabilan serantau serta menjejaskan hak beragama umat Islam di seluruh dunia.
“Malaysia menegaskan bahawa perlindungan serta penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa”, menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk mengutuk tindakan Israel dengan tegas dan menuntut agar segera menghentikan semua tindakan agresif, menghormati kesucian tapak suci dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Langkah-langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua jemaah”, tambah kenyataan itu lagi.
Malaysia menegaskan solidariti padu dengan rakyat Palestin dan komitmen untuk memelihara warisan agama, budaya dan kebangsaan mereka.
“Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, menurut kenyataan itu.