
KUALA LUMPUR, 8 April – Penilaian prestasi pekerja yang terlibat pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) perlu berasaskan hasil tugasan serta impak yang diberikan.
- Penetapan KPI penting untuk memastikan penilaian prestasi dijalankan secara adil, telus dan berkesan.
- KPI membantu pekerja memahami matlamat, keutamaan kerja serta penyampaian tugasan kepada majikan.
- KPI membolehkan pekerja mengurus masa dengan lebih terancang untuk menyiapkan dan menghantar tugasan.
- Keberkesanan BDR bergantung pada hubungan dua hala, kepercayaan majikan dan integriti pekerja bagi mengekalkan produktiviti.
Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr. Idaya Husna Mohd berpandangan, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) amat penting bagi memastikan penilaian dibuat secara adil, telus dan berkesan.
Dalam konteks pekerja, KPI membolehkan mereka memahami perkara yang perlu dicapai dan keutamaan kerja, termasuk penyampaian tugasan kepada majikan.
“KPI juga membantu pekerja memahami tempoh masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan serta menghantar tugasan, sekali gus membolehkan mereka mengurus waktu kerja dengan lebih terancang,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Mengulas lanjut, beliau berkata keberkesanan BDR bergantung kepada hubungan dua hala, dengan majikan perlu memberi kepercayaan manakala pekerja melaksana tanggungjawab dengan penuh integriti.
Perkara itu penting bagi memastikan produktiviti kekal terpelihara walaupun tugasan dilaksana di luar pejabat.