MAIS galak jemaah haji guna platform Wasiat Dhuyufurrahman 2026

Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 dilancarkan Majlis Agama Islam Selangor buat bakal jemaah haji.

SHAH ALAM, 8 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggalakkan bakal jemaah haji tahun ini menyediakan wasiat dan melantik MAIS sebagai wasi, menerusi Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen berlangsung sehingga 20 Mei 2026.
  • Yuran penyediaan dokumen wasiat RM200 untuk para jemaah haji, terbuka kepada orang awam.
  • MAIS diberi kuasa mengurus harta pusaka dan bertindak sebagai pemegang amanah mengikut Enakmen 2003.
  • Pelancaran disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Kempen yang dilancarkan pada 31 Mac lalu itu, mendorong bakal jemaah haji menyediakan wasiat sebelum berangkat ke Tanah Suci, sekali gus memperkukuh peranan MAIS dalam membantu umat Islam menguruskan harta pusaka mengikut syarak.

Pengerusi MAIS, Datuk Setia Salehuddin Saidin, berkata kempen itu berlangsung sehingga 20 Mei 2026.

“Apa yang sedang kita promosikan adalah buat bakal jemaah haji. Kita akan buat promosi yuran pembayaran penyediaan dokumen wasiat sebanyak RM200 kepada para jemaah haji yang bakal mengerjakkan haji tahun ini. Peluang ini juga terbuka kepada masyarakat di luar sana untuk bersama-dama menyediakan wasiat kepada pewaris mereka apabila mereka meninggalkan dunia,” katanya kepada pemberita.

Agensi tersebut berkuasa mengurus harta pusaka dan bertindak sebagai pemegang amanah mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Pelancaran Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, di Dewan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.