
KUALA LUMPUR, 8 April — Program Salam Baitullah 2026 kembali untuk musim ke-18 menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1 menampilkan pengisian lebih menyentuh aspek rohani dan spiritual jemaah haji selaras dengan tema “Jihad Yang Terindah”.
- Fokus kepada pengalaman sebenar jemaah dan persediaan sepanjang berada di Tanah Suci.
- Pasukan produksi menghadapi cabaran kekangan kemudahan dan ketidaktentuan lokasi liputan tetapi tetap komited menyampaikan laporan terbaik.
- Tabung Haji dan kerajaan memberi jaminan keselamatan kepada jemaah dan petugas media.
- Pasukan menyediakan pelan kontingensi dan pelan alternatif sekiranya berlaku konflik atau perubahan situasi.
Penerbit dan Pelapor Salam Baitullah musim ke-18, Rafael Ramlan berkata edisi kali ini memberi tumpuan kepada pengalaman sebenar jemaah serta persediaan yang dilalui sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurut beliau, pasukan produksi berdepan cabaran dari segi kekangan kemudahan dan ketidaktentuan situasi di lokasi liputan, namun tetap komited menyampaikan laporan terbaik kepada rakyat Malaysia.
“Kita sudah membuat perancangan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan, namun pada masa sama perlu bersedia menyesuaikan diri dengan situasi di sana serta memastikan maklumat yang disampaikan lengkap dan tepat,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kota Media.
Mengulas situasi semasa di Asia Barat, beliau berkata pihak Tabung Haji dan kerajaan telah memberi jaminan keselamatan kepada jemaah serta petugas media.
Katanya, pasukan produksi turut menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku konflik tidak dijangka.
“Kita dimaklumkan keadaan di sana adalah selamat dan semua perancangan dijangka berjalan seperti dirancang, namun kita tetap bersedia dengan pelan alternatif sekiranya situasi berubah,” katanya.