
KUALA LUMPUR, 8 April – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui agensinya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mengumumkan pelaksanaan Pelan Intervensi Pembekalan dan Pemasaran Hasil Pertanian yang komprehensif bagi mendepani impak krisis tenaga global.
- FAMA perkasakan Jualan Agro MADANI dengan tagline "Jimat Dapur Rakyat" bagi membantu penjimatan rakyat.
- Program dijalankan di premis FAMA, Agrobazaar dan lokasi strategik secara berfasa dari April hingga September.
- Jualan Kombo MADANI tawar potongan 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, lindungi pengguna daripada kenaikan kos sara hidup.
- FAMA komited bekerjasama dengan pengeluar, pemborong dan peruncit untuk menjamin keterjaminan makanan dan sistem makanan lebih berdaya tahan.
FAMA akan memperkasakan Jualan Agro MADANI (JAM) dengan penggunaan tagline “Jimat Dapur Rakyat” yang menyasarkan pelaksanaan sebanyak 2,399 sesi di seluruh negara bermula April sehingga September tahun ini.
“Inisiatif ini dilaksanakan secara berterusan di premis-premis seliaan FAMA termasuk Agrobazaar FAMA, Pusat Operasi FAMA dan lokasi strategik lain.
“Pelaksanaan ini akan dijalankan secara berfasa, di mana Fasa 1 (April-Mei) melibatkan 872 sesi, manakala Fasa 2 (Jun-September) akan dipertingkatkan kepada 1,527 sesi”, menurut FAMA dalam satu kenyataan.
Menurut FAMA, melalui inisiatif Jualan Kombo MADANI dan jualan promosi ini, kumpulan sasar bakal menikmati potongan harga antara 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan, sekali gus bertindak sebagai mekanisme perlindungan kepada pengguna daripada kesan kenaikan kos sara hidup.
Langkah tersebut selari dengan usaha Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan serta akses barangan asas kepada rakyat pada harga rendah di seluruh negara.
“FAMA komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara melalui kerjasama erat dengan pengeluar, pemborong dan peruncit, bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
“… selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang krisis global pada masa hadapan”, katanya.