Hubungan Kerajaan Perpaduan kekal utuh

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini / foto RTM

PUTRAJAYA, 5 Jun – Hubungan Kerajaan Perpaduan kekal utuh dan berjalan seperti biasa meskipun terdapat perkembangan politik melibatkan parti-parti komponen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan antara parti kerajaan berasaskan semangat saling menghormati dan kerjasama erat.
  • Keputusan beberapa parti bertanding secara berasingan tidak menjejaskan kestabilan di peringkat Persekutuan.
  • Pembubaran Parlimen dinafikan. Sesi bergambar rasmi diadakan kerana pelantikan anggota baharu, bukan petanda pembubaran.
  • Keputusan tentang Kongres Tahunan PKR akan diputuskan esok dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat di Johor.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hubungan antara parti dalam kerajaan terus berasaskan semangat saling menghormati dan kerjasama yang erat.

Menurut beliau, walaupun terdapat keputusan melibatkan parti tertentu untuk bergerak secara berasingan dalam pilihan raya akan datang, ia tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Tidak terdapat sebarang kesan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pagi tadi berjalan lancar seperti biasa dalam suasana muhibah.

“Bukan sahaja penuh rasa hormat, malah hubungan dalam kalangan pimpinan di peringkat Persekutuan kekal erat tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai perkembangan melibatkan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan dakwaan kononnya akan berlaku atau terdapat petanda pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Menurut Datuk Fahmi, sesi bergambar rasmi Jemaah Menteri yang diadakan hari ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembubaran Parlimen, sebaliknya diatur susulan pelantikan beberapa anggota baharu Kabinet serta ketiadaan sesi bergambar selepas rombakan Jemaah Menteri sebelum ini.

“Tak betul. Perdana Menteri memaklumkan memang ada hasrat untuk mengambil gambar Jemaah Menteri kerana ada anggota baharu. Sejak rombakan Kabinet pada bulan Disember lalu, belum ada sesi bergambar seperti itu. Jadi ia tidak ada kaitan dengan pembubaran Parlimen,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi memaklumkan keputusan mengenai penganjuran Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diputuskan esok dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti berkenaan di Johor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.