Tentera Darat tingkat kesiapsiagaan hadapi banjir, lebih 4,000 pegawai dan anggota digerakkan

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman/ RTM

SUNGAI UDANG, 18 November – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), susulan risiko banjir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 4,000 pegawai dan anggota TDM berada dalam keadaan siap siaga menghadapi kemungkinan banjir.
  • Kesiapsiagaan melibatkan aset darat dan perairan dengan sokongan TUDM serta TLDM.
  • TDM bertindak sebagai peneraju utama Operasi Murni membantu operasi menyelamat dan pengurusan bencana banjir.
  • Tentera Darat memantau lokasi banjir termasuk di Perak untuk kenal pasti keperluan bantuan dan tindakan susulan.

Setakat ini, lebih 4,000 pegawai dan anggota TDM berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata, kesiapsiagaan itu turut membabitkan aset darat dan perairan dengan sokongan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata, TDM bertindak sebagai peneraju utama Operasi Murni (Op Murni) dalam membantu operasi menyelamat dan pengurusan bencana banjir.

“Kita bersedia untuk melibatkan pasukan di lapangan. Pada hujung tahun ini, persiapan dibuat dengan lebih rapi dan fokus kerana kita mengetahui kawasan yang lazimnya berlaku banjir. Pasukan sentiasa bersedia berada di lapangan untuk membantu pasukan lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) Ke-34 di Kem Terendak, Melaka.

Tambah beliau, Tentera Darat turut memantau beberapa lokasi yang dilanda banjir termasuk di Perak bagi mengenal pasti keperluan bantuan dan tindakan susulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.