
KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Sebanyak 17 kes malaria direkodkan di Terengganu bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, namun kesemua jangkitan tersebut adalah kes import.
- 13 kes melibatkan malaria manusia manakala empat lagi adalah malaria zoonotik.
- 11 kes membabitkan pendatang asing tanpa izin dan dua kes melibatkan pendatang asing berizin.
- Kes telah dikenal pasti, dirawat, transmisi diputus; aktiviti survelan, pengesanan kontak dan kawalan vektor dilaksanakan.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, 13 kes melibatkan malaria manusia manakala empat lagi merupakan malaria zoonotik.
“Bagi kes malaria manusia, 11 kes melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua kes lagi membabitkan pendatang asing dengan izin (PADI).
“Siasatan epidemiologi mendapati semua pesakit mendapat jangkitan ketika berada di luar negara sebelum memasuki Terengganu. Kesemua kes telah dikenal pasti, dirawat dan transmisi jangkitan diputuskan, sekali gus memastikan status sifar malaria manusia tempatan di negeri ini terus dikekalkan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan JKNT dikeluarkan susulan tular satu surat edaran bertarikh 3 Jun lalu di media sosial yang berkaitan kesiapsiagaan pengesanan awal kes malaria dalam kalangan warga asing di Terengganu.
Menurut JKNT surat berkenaan merupakan edaran dalaman kepada semua fasiliti kesihatan di Terengganu bagi meningkatkan tahap kewaspadaan petugas kesihatan susulan peningkatan kes malaria import yang dikesan sejak Mei lalu.
“Bagi mengawal risiko penularan, pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk pengesanan kontak, aktiviti survelan kes, kawalan vektor di lokaliti terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi Kementerian Kesihatan (KKM),” tambah kenyataan itu.