Sekatan MyKhas tidak jejas hak ahli Parlimen

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini / foto RTM

PUTRAJAYA, 5 Jun – Sekatan akses terhadap sistem MyKhas yang dikenakan ke atas beberapa ahli Parlimen tidak menjejaskan hak mereka sebagai wakil rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyKhas adalah peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak melibatkan hak, elaun atau aspek lain yang diberikan melalui Parlimen.
  • ICU JPM berkata penduduk di kawasan terlibat masih boleh membuat permohonan; permohonan akan diteliti untuk kelulusan.
  • Ahli Parlimen Wong Chen dan Lee Chean Chung dakwa pejabat mereka hilang akses MyKhas, menjejaskan urusan permohonan Projek Mesra Rakyat.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi sistem MyKhas merupakan peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak melibatkan kemudahan atau hak lain yang diberikan melalui Parlimen.

“Dia tidak menyentuh hak ataupun elaun atau apa-apa aspek lain yang diberikan kepada seorang wakil rakyat melalui Parlimen.

“Oleh itu, sudah pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang mengakibatkan sekatan ini dikenakan kepada mereka. Namun, saya ambil maklum dan umum ambil maklum bahawa Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah membuat kenyataan bahawa warga dan penduduk di kawasan Parlimen terbabit masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti untuk diluluskan.

“Jadi, tidak timbul isu dari segi permohonan dan peruntukan MyKhas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa pejabat mereka tidak lagi dapat mengakses sistem MyKhas, sehingga menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR).

Sementara itu, ICU JPM memberi jaminan bahawa semua peruntukan kepada rakyat akan terus disalurkan dan diuruskan secara langsung bagi memastikan kebajikan penduduk tidak terjejas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.