
PASIR MAS, 18 November – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyasarkan lebih 2,000 hektar tanah sawah terbiar di kawasan seliaannya dapat diusahakan semula bagi
meningkatkan pengeluaran padi di Kelantan.
- Sasaran meningkatkan purata hasil kepada enam tan metrik sehektar berbanding sekitar 4.3 tan metrik sekarang.
- Usaha memulihkan sawah terbiar dan menambah kawasan penanaman padi yang baharu untuk capai matlamat kerajaan.
- Perolehan tujuh jengkaut hidraulik bernilai lebih RM3.1 juta bagi menggantikan jentera rosak dan mempercepat penyelenggaraan prasarana.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata usaha itu antara langkah strategik bagi mencapai sasaran purata hasil pengeluaran enam tan metrik padi sehektar berbanding pencapaian semasa sekitar 4.3 tan metrik sehektar.
“Masih banyak lagi dalam 2,000 (hektar)…banyak juga yang telah kita kehilangan apabila berlaku pembangunan seperti membina rumah dan sebagainya.
“Jadi kita nak cuba tambahkan balik supaya hasilnya mencukupi dari segi matlamat dan sasaran kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, KADA turut mengenal pasti kawasan baharu yang berpotensi dan bersesuaian untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi.
Khalid berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan tujuh unit jengkaut hidraulik baharu di Pejabat KADA Jajahan Pasir Mas.
Perolehan bernilai lebih RM3.1 juta menerusi kaedah tender itu bertujuan menggantikan jentera lama yang mengalami kerosakan dan tidak lagi ekonomik untuk dibaiki.
“Penyediaan jentera berkenaan amat penting bagi memastikan kerja penyelenggaraan prasarana pengairan, pembersihan parit serta pemulihan infrastruktur pertanian dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan berkesan,” tambah beliau.