
PUTRAJAYA, 18 November – Sebanyak 429 inisiatif merentasi lapan kluster digerakkan kerajaan menerusi Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP) bagi meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk memperkukuh pendapatan dan menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan.
- Menggunakan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara, melibatkan pelbagai kementerian serta pemegang taruh.
- Fokus dua hala: meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan.
- Intervensi: dasar gaji minimum, bantuan tunai dinaikkan sehingga RM4,600 setahun bagi lebih ramai penerima; peringatan pengurusan kewangan berhemah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan itu menggabungkan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan seluruh negara (whole-of-nation) dengan penglibatan pelbagai kementerian serta pemegang taruh.
“Pendekatan kerajaan tidak hanya tertumpu kepada kawalan harga, sebaliknya turut memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan boleh guna rakyat.
“Kita menggerakkan melalui dua pendekatan iaitu melihat kepada aspek pendapatan dan juga menstabilkan paras harga barang dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel sesi Sidang Idea Malaysia (SIM 4): Idea Negara Makmur sempena Festival Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Datuk Armizan menambah, antara intervensi kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat termasuk pelaksanaan dasar gaji minimum dan peningkatan bantuan tunai kepada golongan yang layak.
“Bantuan tunai kerajaan yang sebelum ini bermula pada kadar maksimum RM500 setahun kini meningkat kepada RM4,600 setahun mengikut kategori penerima dengan jumlah penerima turut bertambah daripada kira-kira empat juta kepada sembilan juta ketua isi rumah (KIR).
“Perkembangan itu turut membuktikan peningkatan komitmen kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan kepada rakyat dengan peruntukan meningkat daripada RM2 bilion kepada RM16 bilion,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Datuk Armizan mengingatkan bahawa pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat perlu diseimbangkan dengan pengurusan kewangan negara secara berhemah.
“Komitmen pembayaran khidmat hutang negara setiap tahun hampir mencecah 16 peratus daripada keseluruhan belanjawan negara.
“Justeru, kerajaan perlu berbelanja berdasarkan pendapatan yang tersedia dan tidak bergantung secara berterusan kepada pinjaman, memandangkan beban hutang berkenaan turut memberi implikasi kepada generasi akan datang,” tegas beliau.