
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mengumumkan rombakan besar-besaran Kabinet, dengan melantik putera baginda, Putera Abdul Mateen sebagai Menteri Luar yang baharu, dalam usaha mempersiapkan generasi kepimpinan masa depan.
- Putera Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
- Rombakan Kabinet diumumkan melalui titah perutusan di televisyen dan laman web rasmi kerajaan.
- Sultan kekal memegang portfolio Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
Seorang lagi putera baginda, Putera Abdul Malik turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Perubahan struktur pentadbiran itu diumumkan sendiri oleh Sultan Hassanal, menerusi titah perutusan yang disiarkan di televisyen serta laman web rasmi kerajaan.
Sultan Hassanal memaklumkan baginda akan terus mengekalkan portfolio utama sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, dan Menteri Kewangan.
Sementara itu, anakanda sulung sultan, Putera Mahkota Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah kekal sebagai Menteri Kanan di JPM.
Rombakan Kabinet itu dilakukan ketika Sultan Hassanal dilaporkan mengalami beberapa masalah kesihatan kebelakangan ini termasuk menjalani pembedahan penggantian lutut pada Januari lalu.
Selain dimasukkan ke hospital akibat keletihan melampau semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia, tahun lepas.
Brunei, sebuah negara kecil yang terletak di pantai utara pulau Borneo, mendapat kemerdekaan penuh pada tahun 1984 selepas berada di bawah naungan Britain sejak abad ke-19. -REUTERS