
PUTRAJAYA, 5 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diarahkan supaya menyegerakan penyelesaian berhubung isu pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD) dari Universiti Alexandria, Mesir.
- Pejabat Perdana Menteri minta tindakan susulan selepas aduan pelajar kerana kesukaran pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.
- MQA tiada halangan pengiktirafan akademik, tetapi perlu persetujuan Lembaga Farmasi untuk pendaftaran rasmi.
- Penyelesaian mesti seimbang, menjaga kebajikan penuntut tanpa menjejaskan standard profesional; selaras gagasan MADANI.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengambil maklum aduan yang dikemukakan oleh pelajar bidang farmasi di universiti berkenaan yang menghadapi kesukaran bagi tujuan pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.
Jelas kenyataan itu, kedua-dua kementerian tersebut perlu memberikan perhatian serius dan memuktamadkan jalan penyelesaian dengan kadar segera demi menjaga kepentingan masa depan pelajar yang terlibat.
Menurut kenyataan itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada ketika ini tidak mempunyai sebarang halangan terhadap pengiktirafan akademik bagi program berkaitan.
Namun ia masih memerlukan pertimbangan serta persetujuan daripada Lembaga Farmasi Malaysia bagi tujuan pendaftaran rasmi.
Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa jalan penyelesaian yang bakal diambil mestilah seimbang dan tidak membelakangkan kebajikan penuntut terbabit.
“Justeru, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” menurut kenyataan itu.
Langkah proaktif tersebut diharapkan dapat menamatkan kegusaran para pelajar terlibat, sekali gus memastikan masa depan dan kelayakan profesional mereka dapat dimanfaatkan dalam sistem kesihatan negara.