
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pelaksanaan Biodiesel B15 dilihat sebagai langkah strategik yang mampu menyokong agenda penjimatan bahan api fosil negara, sekali gus mengurangkan beban fiskal kerajaan.
- B15 bukan untuk penjimatan per kenderaan; ia strategi penggantian tenaga bagi mengurangkan kebergantungan import diesel dan beban subsidi.
- Kerajaan berpotensi menjimatkan subsidi kira-kira RM1.5 bilion setahun melalui penggantian domestik B15.
- Kecekapan biodiesel sekitar 93% berbanding diesel fosil; penggunaan meningkat hanya kira-kira 2% tanpa menjejaskan prestasi enjin.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjelaskan bahawa langkah itu bukan bertujuan untuk memberikan penjimatan penggunaan bahan api secara langsung kepada kenderaan peribadi, sebaliknya ia bertindak sebagai instrumen untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import diesel fosil.
“Kesimpulan besarnya daripada sudut teknikal, B15 bukan inovasi dalam kecekapan tenaga tetapi ia adalah strategi pergantian tenaga yang memberi fokus kepada pengurangan import, penjimatan subsidi, dan penstabilan harga.
“Jadi B15 bukan bertujuan menjimatkan penggunaan bahan api per kenderaan, tetapi menjimatkan penggunaan bahan api fosil negara secara agregat dan menurunkan beban fizikal melalui penggantian domestik,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa melalui mekanisma penggantian domestik ini, kerajaan berpotensi mencatatkan penjimatan nilai subsidi sekitar RM1.5 bilion setahun apabila kos purata seliter bahan api dapat diturunkan.
Walaupun kecekapan tenaga biodiesel adalah sekitar 93 peratus berbanding diesel fosil, perbezaan kadar penggunaan harian bagi setiap kilometer adalah terlalu kecil iaitu sekitar dua peratus sahaja dan ia langsung tidak menjejaskan prestasi enjin kenderaan sedia ada.
Mengulas mengenai impak jangka panjang, beliau menyifatkan biodiesel B15 ini sebagai bahan api transisi yang sangat penting sebelum negara bersedia untuk beralih kepada fasa penggunaan B20, B30, sehinggalah ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.