
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
- Perdana Menteri: pertikaian kedudukan Raja mesti diselesaikan melalui saluran sah menurut Perlembagaan Negeri dan undang-undang.
- Kerajaan Persekutuan walaupun tidak terlibat langsung, tetap bertanggungjawab memberi nasihat demi memelihara kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja.
- Anwar amaran menggugurkan raja boleh mengancam keamanan dan kestabilan; beliau sokong pembubaran DUN dengan perkenan Tuanku bagi mandat baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pandangan atau pertikaian berkaitan kedudukan institusi Raja perlu dibuat mengikut saluran sah, berlandaskan Perlembagaan negeri dan lunas undang-undang.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan walaupun tidak terlibat secara langsung dalam urusan berkenaan, tetap bertanggungjawab memberikan nasihat bagi memastikan kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja terus terpelihara.
“Bagi kita, kita tetap pertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan Raja. Kalau kita ikut sekarang susur galur yang setakat ini, kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Meranti, Puchong.
Datuk Seri Anwar berkata, tindakan menggugurkan atau memansuhkan kedudukan mana-mana raja boleh membawa implikasi besar kepada negara, termasuk terhadap keamanan dan kestabilan.
Justeru, beliau mahu semua pihak menghormati institusi Raja serta mengelak tindakan yang boleh menimbulkan keresahan rakyat atau mempersulit pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang, namun ia mesti dibuat secara tertib dan mengikut peruntukan perlembagaan.
Beliau turut menyokong tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri diadakan susulan keadaan politik negeri yang disifatkan tidak menentu.
Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri yang telah mendapat perkenan Tuanku Muhriz membolehkan mandat baharu dikembalikan kepada rakyat.