Lelaki warga asing seludup petrol ditahan

Foto AKPS

BUKIT KAYU HITAM, 8 April – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan bernombor pendaftaran Thailand diubah suai pada bahagian belakang dan ruang tempat duduk untuk menempatkan bahan api.
  • Sebanyak 400 liter petrol ditemui, bernilai lebih RM1,500.
  • Barang rampasan termasuk petrol dan kereta diserahkan kepada KPDN Kubang Pasu untuk tindakan lanjut; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Suspek ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Isnin.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof mendedahkan, tangkapan dibuat selepas pemeriksaan dijalankan terhadap kereta dipandu suspek.

“Kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu telah diubah suai pada bahagian belakang serta ruang tempat duduk bagi menempatkan bahan api untuk diseludup,” katanya.

Ketika penahanan dibuat, 400 liter petrol bernilai lebih RM1,500 ditemui.

Suspek bersama barang rampasan termasuk petrol dan kereta berkenaan diserah kepada KPDN Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM6,550.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.