Persahabatan lebih lima dekad Malaysia–Iran faktor laluan selamat di Selat Hormuz

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bertemu Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi, di sela-sela Kuala Lumpur–Ankara Dialogue/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 7 April — Persahabatan diplomatik antara Malaysia dan Iran menjadi faktor utama kapal komersial negara memperoleh laluan selamat di Selat Hormuz susulan situasi semasa di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan sejak 1970-an membolehkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz tanpa sekatan atau bayaran.
  • Konsistensi hubungan walau bertukar kerajaan dan krisis 1998, 2018 mengukuhkan kepercayaan antara kedua negara.
  • Kepercayaan Iran dipengaruhi pendirian berkecuali Malaysia dan dasar berkawan dengan semua negara kecuali Israel.
  • Penglibatan diplomatik peringkat tinggi berjaya memberi laluan selamat kepada kapal komersial Malaysia.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Ekonomi, Dr Zokhri Idris berkata hubungan yang terjalin sejak 1970-an itu membolehkan kapal Malaysia melalui laluan strategik berkenaan tanpa sekatan atau bayaran.

Menurut beliau, walaupun berdepan perubahan kerajaan serta ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi termasuk krisis 1998 dan 2018, Malaysia kekal konsisten mengekalkan hubungan dagangan dengan Iran.

Katanya, kesinambungan itu mengukuhkan kepercayaan antara kedua-dua negara.

“Kapal-kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz bukan sahaja atas faktor komersial atau keselamatan, tetapi juga kerana kepercayaan Iran terhadap pendirian Malaysia yang berkecuali serta mengamalkan dasar berkawan dengan semua negara kecuali Israel,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau menambah, kepercayaan itu terbina hasil konsistensi Malaysia dalam hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan Iran, sekali gus memudahkan laluan perdagangan negara di perairan berkenaan.

Malaysia turut dilaporkan antara negara yang tidak dikenakan sebarang tol atau bayaran bagi laluan kapal di Selat Hormuz.

Perkara itu disahkan oleh Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi ketika dihubungi Berita RTM pada 31 Mac lalu.

Semalam (7 April) Wisma Putra mengesahkan satu daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz telah diberikan laluan selamat dan kini dalam perjalanan ke destinasi ditetapkan.

Pencapaian positif itu merupakan hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi melibatkan kepimpinan Malaysia dan Iran.

Termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian melalui perbualan telefon pada 26 Mac lalu.

Manakala Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan turut berhubung dengan rakan sejawatnya, Abbas Araghchi pada 24 Mac.