fb fb fb fb fb

Duit artis wanita lesap dalam bank berjumlah lebih RM29,000

KUALA LUMPUR, 17 Januari - Wang simpanan berjumlah RM29,313.20 milik seorang artis wanita lesap tanpa disedari selepas dikeluarkan daripada akaunnya menerusi 11 transaksi pada 8 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata mangsa berusia 40 tahun yang juga pengurus syarikat kosmetik menyedari wang miliknya hilang selepas membuat semakan penyata akaun peribadi pada Sabtu lalu.

"Hasil siasatan awal mendapati wanita itu telah membuat semakan penyata akaun peribadi pada Sabtu lalu dan mendapati terdapat 11 transaksi mulai 8 hingga 12 Januari lalu yang dilakukan tanpa pengetahuannya.

“Mangsa membuat laporan polis menafikan dan menyatakan beliau tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak ketiga atau menerima sebarang pesanan ringkas nombor OTP (kata laluan sekali) bagi kesemua transaksi tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Susulan itu, beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa) bagi tindakan siasatan selanjutnya.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini.

"Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan, boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN