KUALA LUMPUR, 1 Januari -Polis Kontinjen Selangor telah mengeluarkan sebanyak 1,206 saman terhadap pengguna yang didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, sempena Op Ambang Tahun Baharu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya turut menyita 93 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan menerusi operasi penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor bermula 31 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026.
Beliau berkata, operasi itu merupakan satu manifestasi ketegasan pihak berkuasa dalam mengekang ketidakpatuhan perilaku pemanduan serta membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang menggugat ketenteraman awam sepanjang fasa sambutan ambang Tahun Baharu 2026.
"Kejayaan operasi ini dicapai hasil kerjasama erat bersama rakan sinergi dengan kekuatan keseluruhan seramai 413 orang mengikut pecahan 350 pegawai dan anggota JSPT Selangor, 41 anggota bantuan daripada pelbagai elemen jabatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan tugas am.
"Selain itu, kolaborasi strategik ini turut diperkukuhkan dengan penglibatan 19 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan setiap inci laluan kritikal di bawah pentadbiran Kontinjen Selangor berada dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya dalam kenyataan.
Datuk Shazeli berkata, daerah Ampang Jaya mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 199 keping saman, diikuti daerah Shah Alam (161) dan Petaling Jaya (156).
"Penguatkuasaan intensif ini turut menyaksikan tindakan di daerah-daerah lain seperti Klang Utara (124), Klang Selatan (80), Sungai Buloh (74) serta seluruh daerah di bawah Kontinjen Selangor yang sentiasa berada dalam radar pemantauan rapi pihak polis," katanya.
Tambah beliau, seramai tujuh individu ditangkap mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu dua tangkapan membabitkan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dua tangkapan mengikut Seksyen 42(1) akta sama dan tiga tangkapan mengikut Seksyen 108(3) akta sama.
"Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi terhadap budaya ketidakpatuhan di jalan raya demi melindungi nyawa rakyat daripada kecuaian pemandu yang tidak bertanggungjawab.
"Justeru, pihak polis menyeri seluruh masyarakat agar sentiasa membudayakan disiplin pemanduan yang luhur demi menjamin kesejahteraan dan kelestarian keselamatan bersama," katanya lagi.
