ALOR SETAR, 1 Januari -Seorang pemandu ditahan kerana didapati merempuh motosikal ketika lampu isyarat merah, di Masjid Aman dalam kejadian pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan berkata, penahanan lelaki pada 6.45 petang semalam itu susulan siasatan polis berdasarkan sebuah video rakaman yang tular.
Video rakaman kejadian berdurasi 24 saat dimuat naik sebuah akaun TikTok menggunakan nama ‘Din Teknik’.
Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Disember 2025 kira-kira pukul 2.38 petang.
"Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum melanggar motosikal yang berada di hadapannya.
"Menerusi video yang tular, penunggang dan pembonceng motosikal dilihat terjatuh dan cuba menyelamatkan diri sebaik sahaja dilanggar," menurut Asisten Komisioner Syed Basri.
Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
