fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan, cubaan seludup 96,000 batang rokok di Sungai Golok gagal

96,000 batang rokok kretek ditemukan dalam 10 guni yang diletakkan di ruangan belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda

TUMPAT, 30 Disember -Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup masuk 96,000 batang rokok kretek di Sungai Golok pada Isnin gagal selepas dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga.

Suspek berusia 31 tahun, ditahan kira-kira pukul 5.30 petang di tebing Sungai Mentua, berhampiran Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor.

Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Zulafendy Hassan berkata, tangkapan dibuat hasil rondaan berkala oleh sepasukan pegawai dan anggota PPM menggunakan bot ronda PS 8.

"Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek menemukan 10 guni berisi 96,000 batang rokok kretek yang disimpan di ruang kargo belakang kenderaan itu.

Kesemua rokok yang dirampas disyaki diseludup masuk tanpa cukai dan suspek memberi kerjasama penuh semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, barangan rampasan telah disita manakala suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM321,760, sekali gus menjadikan kes itu sebagai kes keenam penyeludupan rokok yang berjaya dipatahkan oleh PPM Wilayah Tiga tahun ini.

Mengulas statistik penguatkuasaan, ACP Zulafendy berkata, sepanjang tahun ini lebih 1.7 juta batang rokok seludup berjaya dirampas.

Ia melibatkan nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan RM4.1 juta.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN