
KUALA LUMPUR, 3 April – Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi komitmen sepenuhnya untuk menyegerakan pelaksanaan projek berimpak tinggi bagi menangani isu sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara.
- Inisiatif Quick Win meliputi Projek Sekolah Modular, Sistem Binaan Berindustri dan Projek Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung.
- Langkah ini sebahagian usaha strategik untuk merealisasikan sasaran persekolahan satu sesi menjelang 2030 dan fasiliti pembelajaran kondusif.
- Sinergi KPM dan JKR kritikal bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual serta meningkatkan kualiti pendidikan; DSTB menambah nilai kokurikulum.
Inisiatif bawah kategori pencapaian pantas atau ‘Quick Win’ itu melibatkan pelaksanaan Projek Sekolah Modular, Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta Projek Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran pelaksanaan persekolahan satu sesi menjelang tahun 2030.
“Inisiatif Quick Win ini bertujuan menyediakan fasiliti terbaik, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif kepada warga sekolah, khususnya murid-murid di bawah seliaan KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Perdana bagi Projek Quick Win Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bawah Rolling Plan 1 (RP1), Cawangan Kerja Pendidikan JKR Tahun 2026, semalam.
Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan bahawa sinergi antara KPM dan JKR adalah kritikal bagi memastikan setiap projek pembangunan pendidikan disiapkan mengikut jadual demi meningkatkan kualiti pendidikan nasional.
Dalam pada itu, pembinaan DSTB dilihat bakal memberi nilai tambah kepada sekolah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kokurikulum serta memberikan keselesaan kepada murid dan guru berbanding ruang terbuka sedia ada.