TH raih Anugerah Labaytum Diamond 2026 buat tahun kedua berturut- turut

Foto FB Tabung Haji

MEKAH, 1 Jun – Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah Labaytum Diamond 2026 daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi tahun kedua berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan oleh Saudi mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan TH menyediakan perkhidmatan dan penjagaan berkualiti kepada jemaah haji.
  • Pengerusi anggap pencapaian sebagai bukti komitmen negara dan hasil kerjasama erat agensi kerajaan serta dedikasi petugas.
  • TH menekankan transformasi berterusan: pemerkasaan operasi, peningkatan keupayaan digital dan penambahbaikan proses untuk perkhidmatan lebih cekap, selesa, selamat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, pengiktirafan berprestij itu mencerminkan keyakinan Kerajaan Arab Saudi terhadap keupayaan TH dalam menyediakan perkhidmatan dan penjagaan berkualiti tinggi kepada jemaah haji Malaysia secara konsisten.

“Anugerah tersebut turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara peneraju dunia dalam pengurusan haji serta membuktikan dedikasi dan profesionalisme petugas yang berkhidmat kepada Dhuyufur Rahman atau Tetamu Allah,”katanya menerusi satu kenyataan.

Anugerah tersebut disampaikan dalam majlis penutup rasmi musim haji 1447H yang dihadiri delegasi haji dari seluruh dunia.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menyifatkan pencapaian terbaharu itu sebagai bukti komitmen Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada jemaah haji.

“Penerimaan Anugerah Labaytum Diamond bagi tahun kedua berturut-turut serta pengiktirafan kali kelima kepada TH merupakan satu penghormatan besar hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, anugerah berkenaan mencerminkan kejayaan usaha transformasi organisasi yang dilaksanakan secara berterusan, termasuk pemerkasaan operasi, peningkatan keupayaan digital serta penambahbaikan proses kerja.

“Tumpuan utama TH kekal kepada usaha mempertingkat mutu perkhidmatan agar jemaah haji Malaysia dapat menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih cekap, selesa dan selamat,” katanya.

TH sebelum ini turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Labaytum bagi kategori Bimbingan Haji Terbaik di Dunia Islam serta Perkhidmatan dan Program Haji Terbaik pada 2023, Perkhidmatan Terbaik untuk Pejabat Hal Ehwal Haji pada 2024, dan Anugerah Diamond pertama pada 2025.

Anugerah Labaytum merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam ekosistem haji global yang menilai kecemerlangan operasi, kebajikan jemaah, perkhidmatan kesihatan, program bimbingan, pengurusan logistik, inovasi digital serta keseluruhan pengalaman jemaah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.