
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pengendali Terminal Bersepadu Selatan (TBS) iaitu Terminal Management and Services Sdn. Bhd. (TMAS) menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menetapkan operasi bas ekspres dijalankan di terminal berlesen.
- Dasar ini sebahagian usaha memastikan sistem pengangkutan awam lebih tersusun, selamat dan memberi manfaat kepada pengguna.
- Terminal berlesen memastikan perkhidmatan memenuhi piawaian keselamatan, keselesaan, kebolehcapaian serta penyampaian maklumat kepada pengguna.
- Terminal berlesen jadi platform rasmi untuk pemantauan, audit, penguatkuasaan dan saluran aduan serta maklum balas pengguna.
- Pelaksanaan konsisten dan pengenalan teknologi seperti tiket elektronik, kod QR dan maklumat masa nyata tingkatkan profesionalisme dan persaingan adil.
Pengerusi TMAS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, dasar tersebut bukan sekadar menentukan lokasi bas beroperasi, sebaliknya sebahagian daripada usaha untuk memastikan sistem pengangkutan awam negara lebih teratur, selamat dan memberi manfaat kepada pengguna.
“Pada pandangan TMAS, dasar ini bukan sekadar soal lokasi operasi, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan sistem pengangkutan awam darat negara dibangunkan secara lebih tersusun, selamat, dan berpaksikan terus untuk menjaga kepentingan pengguna,” katanya demikian menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook rasmi TBS hari ini.
Perkara itu susulan laporan mengenai keputusan syarikat Aeroline yang menghentikan operasi perkhidmatan bas ekspres ke Kuala Lumpur.
Menurut beliau, terminal berlesen diwujudkan bagi memastikan penumpang menerima perkhidmatan yang memenuhi piawaian ditetapkan pihak berkuasa. Ia meliputi aspek keselamatan, keselesaan, kebolehcapaian serta penyampaian maklumat kepada pengguna.
“Terminal berlesen juga berfungsi sebagai platform rasmi untuk pemantauan, audit dan penguatkuasaan selain menyediakan saluran yang lebih teratur bagi pengguna mengemukakan aduan dan maklum balas berkaitan perkhidmatan,” tambah beliau dalam kenyataan yang sama.
TMAS turut menegaskan pelaksanaan dasar secara konsisten kepada semua pengendali penting bagi memastikan persaingan yang adil dalam industri pengangkutan awam.
Dalam masa sama, TMAS berpandangan terminal berlesen turut memainkan peranan penting dalam usaha memodenkan industri pengangkutan awam menerusi penggunaan teknologi seperti tiket elektronik, kod QR dan sistem maklumat perjalanan masa nyata.
TMAS yakin pelaksanaan dasar yang konsisten mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam negara, sekali gus membantu mewujudkan industri yang lebih profesional, mampan dan berdaya saing.