
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Perpaduan kekal, menjadi asas utama kekuatan Malaysia, yang perlu terus dipelihara, bertujuan menjamin kestabilan, keharmonian serta kemajuan negara.
- Menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara; mereka yang enggan bukan layak digelar warganegara.
- Pemimpin politik mesti menjaga adab dan tutur kata, elak provokasi isu raja, bangsa, agama.
- Waspada terhadap penyebaran maklumat palsu serta penyalahgunaan teknologi AI dan kandungan deepfake.
Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan tidak melupakan sejarah hitam rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang pernah menggugat perpaduan dan kestabilan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah semua pihak disaran menghayati setiap prinsip rukun negara dan menjadikannya amalan serta garis panduan sebagai rakyat Malaysia.
“Jika ada mana-mana rakyat malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip rukun negara tersebut, maka dia tidak layak di gelar sebagai warganegara malaysia,”titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Dalam titah sama, Sultan Ibrahim turut menasihatkan pemimpin politik agar menjaga adab dan tutur kata, khususnya ketika bahang pilihan raya mula dirasai.
“Elakkan provokasi dan pertikaian mengenai isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama, kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,”titah Baginda.
Menyentuh perkembangan media sosial pula, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat palsu dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk kandungan deepfake yang menggunakan suara serta imej tiruan bagi mengelirukan masyarakat.
Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada penerima darjah dan pingat Persekutuan tahun ini serta mengingatkan agar anugerah yang diterima dijadikan dorongan untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Mengakhiri titah, Baginda dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan penghargaan atas doa serta sokongan rakyat, sambil mendoakan Malaysia terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan perpaduan.