
BEIRUT, 3 April – Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat (ESCWA) memberikan amaran bahawa kenaikan 20 peratus harga makanan global boleh menyebabkan tambahan lima juta penduduk berpendapatan rendah di negara-negara Arab mengalami ketakjaminan makanan.
- Konflik serantau sejak 28 Februari menjejaskan bekalan makanan, tenaga dan air, memperburuk ketahanan makanan.
- Eksport minyak Teluk merosot 75 hingga 90 peratus, menolak harga minyak melebihi AS$112 setong dan menekan ekonomi.
- ESCWA menggesa tindakan serantau segera: pelbagaikan laluan perdagangan dan labur dalam infrastruktur berdaya tahan.
Menerusi laporan polisi bertajuk “Conflict and its shockwaves”, agensi itu menyifatkan risiko berkenaan sebagai mendadak dan semakin meruncing, terutamanya bagi negara yang bergantung sepenuhnya kepada import makanan serta mempunyai kapasiti fiskal yang terhad untuk menyerap kejutan ekonomi.
Krisis berpunca daripada ketegangan serantau yang tercetus sejak 28 Februari lalu bukan sahaja menjejaskan bekalan makanan tetapi turut mengganggu kestabilan sektor tenaga dan air.
Pasaran tenaga dilaporkan mengalami impak paling mendesak apabila eksport minyak negara-negara Teluk jatuh menjunam antara 75 hingga 90 peratus, sekali gus melonjakkan harga minyak dunia melebihi AS$112 setong.
Gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz turut mencetuskan lonjakan kos pengangkutan dan insurans yang seterusnya menyemarakkan kadar inflasi serta melebarkan defisit belanjawan di seluruh rantau berkenaan.
Pemangku Setiausaha Eksekutif ESCWA, Mourad Wahba dalam satu kenyataan menegaskan bahawa angka-angka tersebut memerlukan tindakan serantau segera.
Beliau menggesa langkah strategik diambil termasuk mempelbagaikan laluan perdagangan dan melabur dalam infrastruktur yang lebih berdaya tahan bagi melindungi rantaian bekalan kritikal.
Tanpa campur tangan segera, kesan berganda daripada konflik ini dianggarkan mampu menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$150 bilion dalam tempoh hanya sebulan, selain berisiko memburukkan kadar kemiskinan dan meningkatkan keresahan sosial di negara-negara yang terlibat. – BERNAMA